Blogroll

GN

Minggu, 11 Maret 2012

Ketuanan Melayu: Antara Konsep dan Isu

Tazkirah SJ : ‘Ketuanan Melayu: Antara Konsep dan Isu’
Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Pendahuluan:
Sebagaimana telah dijelaskan, konsep ketuanan Melayu bukanlah suatu ungkapan yang tidak ada pengertiannya, tetapi mengandungi makna yang besar. Apabila seseorang menyeru ke arah menolak konsep ketuanan Melayu dan semangatnya seumpama seseorang yang mempunyai sebuah rumah lalu mengisytiharkan rumah tersebut bukan miliknya lalu diberikan kepada sesiapa yang menginginkannya secara percuma. Bahkan, isu itu lebih dari sekadar itu sahaja.

Ia sememangnya melibatkan isu yang lebih luas dalam konteks negara Malaysia ini terutamanya melibatkan institusi beraja di tanah Melayu (atau Malaysia) ini yang bertanggungjawab menjaga agama dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal di Malaysia.

Para ulama’ Nusantara bersemangat mempertahankan ke”nusantara”an mereka dengan gelaran merujuk kepada tanah asal masing-masing (seperti Al-Fathani, Al-Falambani, Al-Banjari, Al-Bantani, Al-Jawi, Al-Fadani, Al-Filfilani, Al-Kalantani dan sebagainya) di samping menulis kitab-kitab agama dalam tulisan Jawi membuktikan semangat ini perlu terus dipertahankan melalui segenap konsep yang dapat dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Ketuanan Melayu bukan semata-mata isu politik sehingga sesetengah pihak mengaku sedang menjuarai agenda mempertahankannya sedangkan sebahagian yang lain cuba menghancurkannya atas dasar ianya adalah agenda politik sesetengah parti bersemangat kebangsaan. Ukurannya adalah ilmu dan falsafah umumnya, sebelum emosi dan situasi khusus yang bersifat cabang di sekitarnya.

Teras Mencintai Tanah Air

Islam sangat menjaga dan meraikan unsur fitrah dalam diri manusia. Antaranya, termasuklah kecintaan kepada tanah air yang menjadi fitrah dan tabiat murni dalam diri mereka. Bahkan, merasa betapa tanah air tercinta sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia adalah suatu yang mengalir dalam kemanusiaan manusia.

Rasulullah s.a.w. menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air Baginda s.a.w. yang tercinta, iaitu bumi Makkah, sebagaimana dalam sabda Baginda s.a.w. ketika keluar berhijrah meninggalkan bumi Makkah tersebut:

ما أطيبكِ من بلد ، وأحبَّكِ إليَّ ، ولولا أن قومي أخرجوني منكِ ما سكنتُ غيركِ ” .

Maksudnya: Alangkah indahnya engkau (wahai Makkah) selaku tempat kediaman dan engkaulah yang paling ku cintai. Andai bukan kerana kaumku mengeluarkanku daripadamu, nescaya aku tidak akan mendiami di mana-mana tempat selainmu”.

[Hadis riwayat Imam At-Tirmizi, no: 3926]

Islam: Antara Keluasan Ajarannya dan Pengiktirafan Fungsi Perbezaan Dalam Masyarakat

Ramai orang membincang sesuatu isu secara terpisah sehingga akhirnya membuat kesimpulan yang tidak menyeluruh. Begitulah yang berlaku dalam menilai ajaran Islam dan pedomannya dalam sesuatu permasalahan dan isu. Ajaran Islam mengajar tentang keluasan ajarannya yang menjangkau perbezaan bangsa dan sempadan daerah, namun dalam masa yang sama tidak menafikan hikmah di sebalik perbezaan bangsa yang menghuni d sesuatu tempat tersebut.

Ketika Allah s.w.t. menyebut tiada beza di sisi Allah s.w.t. antara mana-mana kaum melainkan dengan takwa, namun Allah s.w.t. masih menjelaskan wujudnya fungsi perbezaan kaum tersebut yang perlu dihayati. Dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.”

(Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menjelaskan sebahagian fungsi perbezaan antara jantina dan bangsa adalah untuk saling mengenali dengan ciri-ciri keistimewaan mereka yang tersendiri. Antara ciri-ciri keistimewaan masing-masing adalah tanah asal mereka itu sendiri yang akhirnya akan disentuh secara lebih terperinci selepas ini. Jadi, seseorang tidak dapat menolak kepentingan ciri-ciri keistimewaan dalam kelainan antara sesama bangsa yang berbeza dalam pada menetapkan keluasan ajaran Islam. Ia adalah dua perbahasan yang berbeza tetapi tidak terpisah.

Penduduk Tempatan dan Penduduk yang Berhijrah dalam Mafhum Al-Qur’an

Kita perlu melihat konteks penduduk “tempatan” dan mereka yang berhijrah dari sesebuah tanah air asal menuju ke sesuatu tempat yang baru dalam neraca dan panduan murni Al-Qur’an Al-Karim. Allah s.w.t. berfirman:

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

[Surah Al-Hasyr: 8-9]

Dalam ayat ini menceritakan tentang dua golongan Islam yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. iaitulah orang-orang Muhajirin dan orang-orang Anshar. Allah s.w.t. menjelaskan betapa orang-orang Muhajirin yang berhijrah dari kampung halaman mereka menunjukkan Islam meraikan sudut sejarah bagi sesuatu kaum yang berhijrah dari sesuatu tempat menuju ke sesuatu tempat yang lain.

Begitu juga, ayat seterusnya menceritakan tentang orang-orang Anshar yang “mendiami” negeri Madinah lalu mengasihi para muhajirin yang berhijrah ke negeri “mereka” (iaitu negeri orang-orang Anshar). Allah s.w.t. tidak menghilangkan nisbah orang-orang Anshar sebagai tuan kepada kediaman mereka sendiri dengan menisbahkan negeri tersebut kepada mereka.

Ayat ini mengajar kita bagaimana berinteraksi dengan isu bangsa dan tempat kediaman dengan melihat sejarah sesuatu bangsa yang sudah memegang pemerintahan di sesuatu tempat dengan bangsa yang berhijrah lalu menghuni di tempat orang lain. Biarpun Saidina Rasulullah s.a.w. memimpin orang-orang Islam secara umumnya, namun kepimpinan tempatan seperti negeri Madinah kepada orang-orang Anshar, negeri Makkah kepada para pembesar Quraisy dan sebagainya.

Jadi, ayat ini menjelaskan bagaimana mengiktiraf ketuanan bangsa kepada sesuatu tempat adalah sesuatu yang diamalkan dalam Al-Qur’an walaupun tanpa istilah-istilah ketuanan dan sebagainya. Pun begitu, tetap sahaja, maksud ketuanan sesuatu bangsa iaitu kepimpinan tempatan bagi sesuatu bangsa yang memimpin di tempat mereka tersebut diraikan dalam ajaran Islam.

Persekitaran Istilah Ketuanan Melayu

Definisi Ketuanan Melayu selalunya sekitar “Bangsa Melayu sebagai bangsa asal Tanah Melayu (Malaysia) selain bangsa pribumi yang lain”.

Dalam wikipedia menyebut:

“Ketuanan Melayu ialah kontrak sosial yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia. Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.”

Dr. Mohd Ridhuan Tee berkata:

“Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia.”

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Istilah Ketuanan (As-Siyadah)

Sesetengah orang yang cuba menolak konsep ketuanan hanya kerana tidak mampu memahami isu bahasa dengan baik. Ada yang mendakwa konsep ketuanan (ketuanan Melayu sebagai contoh) menyebabkan bangsa-bangsa lain adalah hamba kerana lawan bagi tuan adalah hamba. Anggapan begini adalah suatu anggapan yang lahir daripada kejahilan terhadap keluasan sesuatu istilah.

Dalam bahasa Arab, perkataan as-sayyid (tuan) tidak menyebabkan selain daripada orang yang dipanggil as-sayyid adalah hamba-hamba kepada as-sayyid tersebut. As-Sayyid atau tuan adalah suatu ungkapan untuk menghormati seseorang yang mempunyai kedudukan dan kepimpinan.

Istilah tuan hanya merujuk kepada hamba jika istilah tuan itu dinisbahkan kepada seseorang untuk tujuan menjelaskan status kehambaan orang yang dinisbahkan tersebut. Seperti contoh, tuan si A, boleh membawa maksud tuan kepada si A tersebut sedangkan si A adalah hamba kepada tuan tersebut.

Tetapi, jika dikatakan tuan kepada sesuatu bangsa, tempat dan sebagainya, tidak menyebabkan selain “tuan” adalah hamba. Mengapa mengelirukan orang-orang sekeliling dengan kekeliruan diri sendiri? Lihatlah dalam Kamus Dewan Edisi Kedua dalam menjelaskan maksud kalimah “tuan”:-

1 panggilan bagi orang lelaki yg berpangkat atau yg patut dihormati: ~ hakim. 2 panggilan bagi wanita bangsawan (spt puteri raja): ~ puteri. 3 kata ganti nama diri bagi orang lelaki atau orang perempuan yg di­lawan bercakap: ~ hendak ke mana? 4 yg empunya; pemilik: Siapa ~ kedai ini? 5 orang tempat seseorang meng­hambakan diri; lw hamba: ~ saya baru saja keluar. ~ rumah a. pemilik rumah. b. orang yg meraikan tetamu. tuan-tuan sekalian orang yg hadir dlm sesuatu keramaian, majlis dll: Saya mengucapkan berbanyak-banyak te­rima kasih atas kerjasama ~. bertuan ada tuannya atau ada pemiliknya; mem­­­punyai penguasa: Rumah ini belum ~ lagi. bertuankan menerima atau mengakui seseorang sbg tuan. menuani berlaku sbg tuan terhadap (sesuatu atau seseorang); menguasai; memiliki. menuankan menjadikan sbg tuan; memanggil tuan kpd orang yg dilawan berbicara. ketuanan hak memerintah; kekuasaan: Kublai Khan mendesak Singhasari menerima ~ Mongol. pertuanan 1 golongan bangsawan. 2 pemerintahan. dipertuan dimuliakan. Yang di-Pertuan Agong ketua negara Malaysia.

Maksud tuan dalam kalimah ketuanan Melayu yang difahami umum sudah semestinya merujuk kepada maksud yang keempat iaitu bangsa Melayu sebagai pemilik asal tanah Melayu ini.

Ketuanan sendiri dalam Kamu Dewan Edisi Keempat menyebut:

“hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan:”

Jadi, di mana salahnya istilah “ketuanan” Melayu ini melainkan pada salah faham sesetengah pihak atau di sisi mereka yang cuba mengelirukan masyarakat umum. Benarlah kata Dr. Mohd Ridhuan Tee:

“Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu.”

[Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm]

Ketuanan Melayu dan Perlembagaan

“Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.”

Maksudnya, ketuanan Melayu berkait rapat dengan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong (Raja Melayu) menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia yang dirujuk sebagai Bumiputera. Dalam ungkapan perlembagaan, ianya disebut sebagai Artikel 153 Perlembagaan Malaysia sedangkan dalam kontrak sosial, ianya disebut sebagai ketuanan Melayu.

Ramai orang tidak faham ungkapan ini secara menyeluruh akhirnya membuat kesimpulan betapa ketuanan Melayu membawa kepada pengabaian terhadap kaum-kaum lain. Jika kita rujuk secara dekat dalam artikel 153 ini, apa yang disebut adalah berkenaan dengan menjaga “kedudukan keistimewaan” Bumiputera. Ia tidak menafikan aspek “menjaga” hak-hak kaum lain kerana pengkhususan tanggungjawab penjagaan dalam artikel tersebut lebih merujuk kepada kedudukan keistimewaan yang khusus kepada Bumiputera.

Jadi, penjagaan terhadap “kedudukan keistimewaan” secara khusus bagi sesuatu bangsa yang menjadi penduduk asal Malaysia tidak menafikan penjagaan “hak-hak” setiap kaum secara umum. Apa yang berbeza adalah, sesetengah kaum mempunyai hak dan sesetengah kaum yang lain (penduduk asal) mempunyai hak dan kedudukan keistimewaan. Itu sahaja.

Antara Ketuanan Islam dan Ketuanan Melayu

Sudah tentulah, setiap istilah perlu kepada definisinya yang sesuai dengan penggunaannya yang tepat dalam bahasa yang digunakan. Istilah ketuanan dalam bahasa Melayu sendiri merujuk kepada:-

- hak memerintah; kekuasaan [Kamus Pelajar]
- hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan [Kamus Dewan Edisi Empat]

Jika kita menisbahkan kalimah “ketuanan” kepada kalimah Islam bererti kita bermaksud bahawa Islam mempunyai hak memerintah dan mempunyai kekuasaan. Padahal, Islam adalah agama yang menjadi panduan dalam urusan kehidupan manusia secara menyeluruh, tetapi tidak pula mempunyai “hak memerintah” sebagaimana yang dimaksudkan oleh kalimah ketuanan itu sendiri. Perkataan hak sendiri merujuk kepada individu, bukan kepada sesebuah agama.

Sedangkan, ketuanan Melayu pula merujuk kepada “hak memerintah” (atau sekurang-kurangnya merujuk kepada “penduduk asal di tanah Melayu”), bagi bangsa Melayu di Malaysia. Sudah pasti kalimah ketuanan Melayu dan ketuanan Islam berbeza kerana afraad (individu-individu) yang terkandung dalam dua kalimah tersebut berbeza sama sekali.

Jika disebutkan kalimah “ketuanan Islam”, maka ianya tidak merujuk kepada konsep mempertahankan “hak keistimewaan bangsa Melayu sebagai penduduk asal Malaysia di samping Bumiputera yang lain” sebagaimana ianya terkandung dalam kalimah Ketuanan Melayu, kerana ketuanan Islam akan merangkumi bangsa selain Melayu dan Bumiputera yang telah memeluk Islam. Ia tidak salah dari sudut ajaran Islam tetapi tidak juga sampai kepada maksud sebenar fungsi istilah “ketuanan Melayu” yang berkait rapat dengan artikel 153 dipertahankan dalam Perlembagaan.

Istilah “ketuanan Islam” juga tidak bersifat mani’e untuk merujuk kepada semangat sebenar di sebalik artikel 153 ini bahkan sebaliknya, isitilah “ketuanan Melayu” lebih merangkumi maksud ketuanan Islam secara tidak langsung kerana dalam takrif Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan adalah:-

Orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura. [Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia]

Penutup Ringkas: Hak dan Keistimewaan Bumiputera

Tan Sri Prof. Khoo Kay Kim berkata:

“Memandang dari sudut kuota pula, kita seharusnya tidak menafikan hak kuota Bumiputera yang mempunyai banyak kelebihan dalam pelbagai aspek kerana mereka rakyat beraja. Kerajaan memang diasaskan oleh orang Melayu yang masyarakatnya terdiri dari dua kelas iaitu kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah.”

[Majalah Milenia, September 2010, m/s: 19].

Ketika membincangkan tentang ketuanan Melayu, kita membincangkan tentang “tanah Melayu” yang lebih dikenali sebagai Malaysia ketika ini. Ia tentang penduduk asal, kerajaan asal, pentadbiran asal dan bangsa pembangun tamadun asal di tanah bernama Malaysia tersebut. Ia sudah pasti tidak terpisah daripada Islam bahkan Islam sendiri adalah panduan terbaik dalam membentuk sebuah konsep terbaik berkaitan ketuanan Melayu ini.

Wallahu a’lam….
Sumber : http://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/ketuanan-melayu-antara-konsep-dan-isu/177413905619129

Tidak ada komentar:

Posting Komentar